Sihir Pemisah

08 Oct 2020
Sihir Pemisah
Melihat Saiz Penuh

Sifat kasih sayang yang wujud dalam diri manusia adalah anugerah Allah SWT. Walau bagaimanapun sifat ini boleh berubah serta merta jika ada pihak yang rasa tidak senang dengan seseorang apabila melihat kebahagiaan yang dimiliki. Maka, pendekatan sihir diambil bagi memastikan hasrat tersebut tercapai.

Seseorang yang terkena sihir pemisah akan mengalami perubahan diri dengan tiba-tiba iaitu daripada cinta menjadi benci. Jika pasangan suami isteri, salah seorang yang disihir akan merasa benci setiap perbuatan yang dilakukan walaupun ianya baik. Sebagai contoh, pandangan mata yang buruk seorang suami terhadap isterinya dan sebaliknya sehingga seseorang suami melihat isterinya sangat hodoh, walaupun di mata orang lain isterinya itu sangat cantik. Berlaku juga isteri melihat suaminya dalam keadaan wajah yang menakutkan.

Berlaku juga salah seorang yang disihir akan merasa ragu antara sama lain yang boleh menyebabkan perselisihan faham dan pergaduhan walaupun punca daripada perkara yang kecil atau remeh-temeh. Keengganan meminta maaf mengakibatkan perkara tersebut menjadi besar. Contoh lain sihir pemisah seperti isteri benci kepada suaminya apabila berada di rumah. Sekiranya isteri melihat suami di luar rumah seperti biasa tetapi ketika masuk rumah, dia merasa amat benci.

Sihir ini merupakan rentetan daripada sihir pembenci melainkan dia lebih memfocuskan kepada pasangan suami isteri agar hubungan kedua-duanya bermasalah dan akhirnya membawa kepada penceraian. Sihir ini dikenali juga dengan nama sihir “at-Tafriq”. Al-Hafiz ibnu Kathir menjelaskan sebab penceraian antara suami isteri akibat sihir ialah bayangan suami atau isteri terhadap pasangannya dalam rupa atau perilaku yang buruk atau sebab-sebab lainnya yang boleh menimbulkan penceraian.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 102:

Terjemahannya: “…Dalam pada itu ada juga orang-orang mempelajari dari mereka berdua: ilmu sihir yang boleh menceraikan antara seorang suami dengan isterinya, padahal mereka tidak akan dapat sama sekali memberi mudarat (atau membahayakan) dengan sihir itu seseorang pun melainkan dengan izin Allah…”

Seperti sihir yang lain, sihir pembenci atau pemisah ini dilakukan sama ada dengan menggunakan barang-barang seperti pakaian, air atau minyak yang dijampi, dipalit atau diletakkan pada tempat laluan mangsa, sesuatu yang dimasukkan ke dalam makanan seperti gula, kopi, beras dan lain-lain.

Tanda berlakunya sihir “at-Tafriq” berlaku khususnya pasangan suami isteri iaitu perubahan daripada kasih kepada kebencian kepada apa sahaja secara tiba-tiba. Wujudnya kesangsian yang melampau antara suami isteri, sikap tidak boleh menerima kemaafan dan membesar-besarkan hal yang remeh-temeh. Pada pandangan mata suami melihat isteri yang cantik kelihatan hodoh dan sebaliknya juga berlaku kepada isteri.

Apa yang menjadi pelik perasaan kebencian itu berlaku hanya pada tempat-tempat tertentu. Contohnya seorang suami ketika bersama isteri di luar rumah tiada masalah tetapi sebaik sahaja masuk ke dalam rumah dia akan merasa sangat rimas dan tidak tenteram.


Anda mempunyai 0 produk di dalam bakul. Adakah anda ingin semak keluar?
0 barang
Tukar ke versi mobile
Recent Updates
Langgan Risalah